Jualan Mitsubishi Triton Naik 2.4% Pada 2019
Walaupun segmen trak pikap mengalami pengecutan sebanyak 21% tahun lalu, Mitsubishi Triton mencatat pertumbuhan sebanyak 2.4% dari Januari hingga Disember 2019 dengan 5,792 unit terjual berbanding tempoh yang sama pada 2018.
Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Triton turut menunjukkan peningkatan dalam bahagian pasaran dari 12.7% pada 2018 kepada 16.5% pada 2019.
Sejak dilancarkan pada awal tahun lalu, trak pikap itu menyumbang 71.2% kepada keseluruhan jualan MMM. Selain Triton, MMM turut menjual Outlander dan ASX.
Tomoyuki Shinnishi, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “Kami akan terus menawarkan trak pikap dengan pengendalian terbaik, dari model flagship Triton Adventure X hingga ke Triton Quest 4X2 untuk memenuhi keperluan pelanggan kami.”
Pada Januari 2019, MMM melancarkan Triton baharu yang menampilkan reka bentuk Dynamic Shield terkini dengan kualiti yang lebih baik dan ciri keselamatan yang canggih.
Pada November tahun yang sama, syarikat itu menaik taraf Triton Adventure X dan Triton AT Premium dengan menambah pelbagai aksesori yang ditawarkan oleh pengedar rasmi MMM.
Triton masih satu-satunya trak pikap yang dilindungi oleh jaminan selama lima tahun atau 200,000 km.
No Comment