Maserati Perkenal Siri Khas Royale untuk Quattroporte, Levante dan Ghibli
Sejak diwujudkan lebih 100 tahun lalu, Maserati telah mencipta pelbagai model unik dan eksklusif. Antaranya adalah Quattroporte 1986 Royale yang ditawarkan dalam bilangan yang sangat terhad iaitu 51 unit.
Selepas 34 tahun, siri khas Royale kini ditawarkan pada tiga model berenjin V6 Maserati iaitu Quattroporte, Levante dan Ghibli. Hanya 100 unit akan dihasilkan dan penghantaran dijadualkan bermula pada Mac ini.
Siri khas Royale boleh didapati dalam warna unik Blu Royale (biru) dan Verde Royale (hijau), dengan padanan rim Anteo Staggered Anthracite 21 inci untuk Levante dan rim Titanium Anthracite untuk Ghibli dan Quattroporte. Tidak kira warna apa yang dipilih, setiap unit didatangkan dengan angkup brek berwarna perak.
Ruang kabin pula menampilkan trim GranLusso, dengan pilihan upholsteri Zegna Pelletessuta Cuoio (tekstil kulit yang dihasilkan khas untuk kenderaan Maserati) atau kulit Pieno Fiore dalam warna dwi tona Black/Cuoio.
Selain itu, permukaan berkilat dan plat nombor siri “One of 100” pada konsol tengah melengkapkan suasana kabin Royale. Tidak dilupakan juga kelengkapan standard seperti sistem audio Bowers & Wilkins, bumbung suria elektrik dan cermin privasi.
Sistem infotainmen pula merangkumi skrin sentuh 8.4 inci Maserati Touch Control Plus (MTC+) lengkap dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Pengguna iPhone boleh menggunakan ciri arahan suara Siri untuk membuat panggilan, mengakses muzik, Internet dan sebagainya.
Dari segi keselamatan, setiap unit siri khas Royale dilengkapi dengan pakej Cold Weather, Premium dan Driving Assistance Plus secara standard. Turut disertakan adalah Advanced Driving Assistance Systems.
No Comment