Mercedes-AMG A45 S Renntech Mempunyai 600 PS
Dengan hamburan mencecah 421 PS dan 500 Nm, Mercedes-AMG A45 S sebenarnya tidak memerlukan sebarang modifikasi tetapi bagi Renntech, masih ada ruang untuk dieksploitasi bagi mendapatkan lebih banyak kuasa.
Terbaru, syarikat dari Jerman itu telah memperkenalkan pakej talaan yang boleh menghasilkan kuasa sehingga 600 PS. Untuk mencapai tahap kuasa tersebut, enjin M139 pada A45 S memerlukan pengecas turbo dan sistem ekzos baharu serta perisian yang diubahsuai.
Jika 600 PS terlalu tinggi, pelanggan juga boleh memilih pakej 550 PS yang boleh dicapai dengan modifikasi yang sama.
Sementara itu, mereka yang tidak mahukan sebarang pengubahsuaian mekanikal boleh mendapatkan pakej 474 PS dan 575 Nm yang hanya memerlukan kemas kini pada perisian enjin.
Selain pakej-pakej tersebut, Renntech turut menawarkan downpipe dengan penukar pemangkin (catalytic converter) dan sistem ekzos yang menawarkan deruman yang lebih garang tanpa perlu membuang penukar pemangkin asal.
Turut boleh didapati adalah modul injap ekzos dengan ciri kawalan jauh untuk dipasang pada sistem ekzos standard, serta injap diverter yang boleh menghasilkan bunyi ‘blow off’.
Dari segi penambahbaikan kosmetik, Renntech menawarkan rim aluminium berukuran 19 dan 20 inci, serta set spring gegelung yang lebih rendah.
No Comment