Perodua Bezza 2020 Dilancarkan – Dari RM34,580
Tidak sampai seminggu selepas tempahannya dibuka, Perodua Bezza 2020 kini dilancarkan secara rasmi dengan wajah yang lebih tampan dan pelbagai kelengkapan terkini.
Model ini ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.0 G manual, 1.0 G auto, 1.3 X auto dan 1.3 AV auto, dengan harga bermula dari RM34,580 hingga RM49,980.
Penampilan Bezza diperkemaskan lagi dengan reka bentuk lampu yang lebih tajam dan reka bentuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif.
Lampu hadapan LED kini didatangkan secara standard pada semua varian, manakala rim aloi 15 inci disertakan pada varian X dan AV, dan rim 14 inci pada varian 1.0 G MT dan AT.
Di dalam, rekaan papan pemuka secara umumnya tidak berubah kecuali kecuali kemasan perak pada papan pemuka dan meter kombinasi beriluminasi putih.
Antara kelengkapan standard yang disertakan termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan sensor undur. Varian AV didatangkan dengan sistem multimedia dengan ciri navigasi dan SmartLink yang boleh diakses menerusi skrin sentuh.
Selain itu, varian AV turut dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0. Ia membantu mengurangkan risiko pelanggaran menerusi ciri Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.
Dari segi keselamatan, semua varian dilengkapi dengan dua beg udara serta ABS dan EBD. Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV kini boleh didapati pada varian X.
Barisan enjin kekal seperti sebelum ini. Bagi model 1.0, enjin 1KR-VE VVT-i berkapasiti 998 cc menghasilkan 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm pada 4,400 rpm.
Sementara itu, enjin 1NR-VE Dual VVT-i pada model 1.3 menjana 95 hp pada 6,000 rpm dan 121 Nm pada 4,000 rpm. Menurut Perodua, Bezza 1.0 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 22.8 km/l bagi varian manual dan 21.3 km/l bagi automatik.
Bezza 1.3 pula dikatakan mencapai tahap 21 km/l bagi varian X dan 22 km/l bagi varian AV dengan ciri Eco Idle.
No Comment