Perodua Sah Akan Guna Platform Daihatsu Untuk SUV Seterusnya
Semasa pembentangan prestasi tahun 2019 sebentar tadi, Perodua mengesahkan bahawa modelnya yang seterusnya akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, besar kemungkinan model yang dimaksudkan adalah SUV berasaskan Daihatsu Rocky yang turut menggunakan platform DNGA.
Seperti yang anda mungkin tahu, Rocky sendiri adalah derivatif Toyota Raize yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).
Dan ia bukanlah satu rahsia yang Perodua kini sedang membangunkan sebuah SUV kompak yang dikenali dengan kod nama D55L. Maklumat mengenai enjin masih belum didedahkan tetapi seperti Rocky, D55L diura-urakan akan menampilkan enjin turbo tiga silinder bersesaran 1.0-liter.
Di dalam Rocky, enjin yang dikenali sebagai 1KR-VET itu menghasilkan 96 hp dan 140 Nm, dan digandingkan dengan D-CVT.
Berdasarkan hasrat Perodua untuk mengikuti trend global semasa iaitu penggunaan enjin bersaiz kecil dengan pengecas turbo, kami berpendapat bahawa kemungkinan untuk D55L menampilkan enjin 1KR-VET adalah sangat tinggi.
Tiada tarikh rasmi diberikan setakat ini namun SUV Perodua ini dijangka akan siap dibangunkan tahun ini.
No Comment