PLUS Tawar Diskaun Tol 20 Peratus Sempena Tahun Baru Cina
Pelanggan rangkaian Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 20% pada 25 Januari 2020 ini sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata pelanggan lebuh raya akan diberikan diskaun tol 20% ketika membayar tol di antara jam 12:00 pagi hingga 11:59 malam.
Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mula memasuki lebuh raya pada jam 7 malam pada 24 Januari dan keluar dari lebuh raya serta membuat bayaran tol pada jam 12:15 pagi pada 25 Januari, mereka akan layak menikmati diskaun perayaan tersebut.
“Kami juga mengambil peluang ini mengucapkan para pelanggan kami supaya “Hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta sentiasa selamat walau di mana sahaja mereka berada” dan dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama yang tersayang,” tambah Datuk Azman.
Diskaun tol 20% ini diberikan kepada pelanggan Kenderaan Persendirian yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Walau bagaimanapun, diskaun tersebut tidak diberikan untuk transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang. Ia juga tidak ditawarkan kepada pelanggan di Jambatan Pulau Pinang yang sedang menikmati diskaun tol 20% yang sedia ada melalui kad Touch ‘n Go.
No Comment