Porsche 911 Belgian Legend Edition Rai Ulang Tahun Jacky Ickx
Porsche telah memperkenalkan 911 Belgian Legend Edition, direka sebagai penghormatan kepada Jacky Ickx yang menyambut ulang tahunnya yang ke-75 pada 1 Januari lalu.
Bagi mereka yang tidak mengenali Ickx, beliau merupakan pelumba kelahiran Belgium yang memiliki enam gelaran juara 24 Hours of Le Mans iaitu pada tahun 1969, 1975, 1976, 1977, 1981 dan 1982. Empat daripada gelaran tersebut dimenangi di dalam jentera Porsche 936.
Berbalik kepada 911 Belgian Legend Edition, ia menggunakan varian 911 Carrera 4S sebagai titik permulaan yang dikemudiannya dicat dengan warna eksklusif bergelar ‘X Blue’.
Belum pernah digunakan pada mana-mana 911 generasi 992, warna tersebut turut ditampilkan pada rim Carrera Classic berukuran 20 dan 21 inci itu. Seperti topi keledar Ickx, rim tersebut dihiasi dengan jalur berwarna putih.
Di dalam, pembeli akan menemui upholsteri kulit berwarna hitam serta jahitan Pebble Grey pada papan pemuka dan panel pintu. Unik kepada model edisi terhad ini adalah kerusi sport 18-cara dengan sulaman ‘911’ pada perehat kepala dan kemasan kulit pada bahagian belakang.
Elemen eksklusif lain yang terdapat pada model ini adalah tulisan ‘Belgian Legend Edition’ pada ambang pintu serta tanda tangan Ickx pada perehat tangan. Apa yang menarik, kuncinya juga didatangkan dalam warna yang sama dan tanda tangan pelumba itu.
911 Belgian Legend Edition ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 75 unit dan kesemuanya hanya dijual di Belgium.
No Comment