Porsche Bina Pusat Pengalaman Ultra-Moden di Itali
Porsche mengumumkan bahawa kerja pembinaan Pusat Pengalaman Porsche (Porsche Experience Centre, PEC) baharu telah dimulakan di litar lumba Autodromo di Franciacorta, Itali.
Terletak di antara Milan dan Venice, PEC Franciacorta dijadualkan dibuka pada awal 2021. Porsche Italia mengambil alih litar tersebut pada tahun lalu dan melabur sebanyak 26 juta Euro (RM117 juta) untuk menjadikannya destinasi bertaraf dunia.
PEC Franciacorta bakal menjadi pusat pengalaman Porsche yang kelapan selepas Leipzig (Jerman), Silverstone (England), Atlanta (AS), Le Mans (Perancsi), Los Angeles (AS), Shanghai (China) dan Hockenheimring (Jerman).
Dibina di atas kawasan berkeluasan 60 hektar, pusat tersebut menampilkan jambatan gantung, kawasan pelbagai guna berkeluasan 2,400 kaki persegi, restoran, pusat hospitaliti dan kawasan teres di mana pengunjung boleh melihat keseluruhan litar lumba itu.
Menurut Porsche, litar yang berukuran 2,519 meter panjang itu akan ditambah baik dengan permukaan baharu namun bentuknya akan dikekalkan.
Untuk pengalaman pemanduan, PEC Franciacorta mempunyai litar off-road, serta kawasan-kawasan seperti Low Friction Circle dan Kick-Plate Track yang akan digunakan untuk kursus pemanduan selamat dan dinamik. Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba pemanduan maya di makmal simulasi dan go-kart elektrik.
Porsche Italia menjangkakan seramai 20,000 pengunjung akan hadir ke PEC Franciacorta setiap tahun. Apa yang menarik, pelanggan boleh memilih untuk mengambil kereta baru mereka di sana.
No Comment