Volkswagen Caddy Generasi Kelima Lebih Canggih
Volkswagen telah mendedahkan dua imej teaser bagi Caddy generasi kelima, sekaligus memberikan bayangan reka bentuk yang lebih jelas sebelum ia diperkenalkan sepenuhnya pada Februari ini.
Lakaran tersebut menunjukkan van komersil kompak itu bakal hadir dengan imej yang hampir sama dengan Golf generasi kelapan. Ini boleh dilihat menerusi bentuk lampu hadapan dan jeriji yang lebih langsing.
Seperti sebelum ini, Caddy akan turut ditawarkan dalam versi MPV dan model baharu ini bakal tampil dengan bumbung panoramik kaca yang terbesar dalam segmennya.
Seperti Golf baharu, Caddy juga dibina di atas platform MQB tetapi apa yang lebih istimewa, model ini mempunyai dua pilihan jarak roda (wheelbase).
Selain itu, penggunaan platform itu juga bermakna Caddy mungkin ditawarkan dengan pilihan enjin yang sama seperti hatchback tersebut. Ini termasuk enjin diesel 2.0-liter yang dipadankan dengan manual enam kelajuan atau automatik tujuh kelajuan.
Volkswagen turut menyatakan bahawa Caddy bakal hadir dengan lebih banyak sistem bantuan pemandu serta fungsi konektiviti Internet.
No Comment