Aston Martin Vantage Roadster – 510 PS, 685 Nm
Setelah melancarkan Vantage Coupe pada 2018, Aston Martin kini memperkenalkan pula versi convertible yang dikenali sebagai Vantage Roadster.
Model ini hadir dengan kelengkapan yang sama dengan Coupe, termasuklah enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menjana 510 PS dan 685 Nm.
Dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.7 saat, hanya 0.2 saat lebih perlahan berbanding Coupe. Kelajuan maksimum pula adalah 306 km/j dengan bumbung dinaikkan.
Bercakap tentang bumbung, Vantage Roadster didatangkan dengan mekanisme bumbung Z-fold baharu dengan berat tambahan sebanyak 60 kg berbanding Coupe.
Ia boleh dibuka dalam 6.7 saat dan ditutup dalam 6.8 saat pada kelajuan sehingga 50 km/j. Menurut Aston Martin, bumbung ini adalah antara yang terpantas di pasaran.
Selain itu, Vantage Roadster turut dilengkapi dengan ciri Adaptive Damping, Dynamic Stability Control, Dynamic Torque Vectoring dan Electronic Rear Differential. Mod pemanduan Sport, Sport + dan Track turut ditala khas untuk model ini.
Bagi pasaran UK, Vantage Roadster ditawarkan pada harga bermula £126,950 (RM680,115). Penghantaran dijangka bermula suku kedua tahun ini.
No Comment