Bentley Bakal Perkenal Model Grand Tourer Baharu
Geneva Motor Show 2020 yang akan berlangsung pada 3 Mac ini bakal menyaksikan kemunculan sebuah model terbaru daripada Bentley yang dikenali sebagai Mulliner Bacalar.
Setakat ini, tidak banyak maklumat yang didedahkan mengenai Mulliner Bacalar. Menurut Bentley, ia merupakan sebuah model Grand Tourer yang dibina menggunakan bahan-bahan yang mapan (sustainable).
Dari segi reka bentuk, pengeluar kenderaan mewah itu mengatakan bahawa model tersebut diinspirasikan oleh kereta konsep Bentley EXP 100 GT yang diperkenalkan pada tahun lalu.
Dibangunkan sempena ulang tahun ke-100 Bentley, EXP 100 GT menampilkan tren kuasa elektrik yang terdiri daripada empat buah motor elektrik.
Dengan jumlah tork mencecah 1,500 Nm, model konsep itu dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 2.5 saat dengan kelajuan maksimum 300 km/j. Ia juga mempunyai jarak pemanduan sejauh 700 km dengan satu cas penuh.
Satu lagi keistimewaan EXP 100 GT adalah ia boleh dipandu secara autonomi sepenuhnya. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada Mulliner Bacalar akan hadir dengan tren kuasa dan teknologi autonomi yang sama.
Seperti yang dijangka, Mulliner Bacalar akan ditawarkan dalam bilangan yang sangat terhad.
No Comment