DS 9 – Sedan Mewah Dari Perancis
Dikala segmen sedan dibayangi oleh SUV yang semakin popular, jenama dari Perancis iaitu DS Automobile memperkenalkan sedan mewah pertama mereka iaitu DS 9.
Dibangunkan untuk pasaran global, DS 9 dibina menggunakan platform EMP2 (Efficient Modular Platform 2) dengan rekaan luaran ala fastback.
Model ini mempunyai ukuran panjang 4.93 meter, lebar 1.85 meter dan jarak roda (wheelbase) 2.9 meter. Ini meletakkannya sebagai pesaing kepada Mercedes-Benz E-Class dan BMW 5 Series dari segi saiz.
Di dalam, elemen utama adalah skrin sentuh besar pada bahagian papan pemuka yang menyediakan akses kepada pelbagai fungsi kenderaan. Selain itu, terdapat juga skrin kedua untuk pemandu dan sistem audio dengan 14 pembesar suara.
Menerusi perkhidmatan DS Inspirations, pelanggan boleh memilih upholsteri kulit, Alcantara, pencahayaan ambien dan pelbagai lagi ciri mengikut cita rasa masing-masing.
DS 9 akan ditawarkan dengan tran kuasa hibrid plug-in yang menampilkan gabungan enjin turbo PureTech dan sebuah motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 225 hp.
Bateri berkapasiti 11.9 kWh membolehkan sedan mewah ini dipandu dengan kuasa elektrik sejauh 40 hingga 50 km, manakala motor elektrik tersebut memberikan kuasa pecutan sehingga kelajuan 135 km/j tanpa menggunakan setitik petrol.
DS 9 juga akan didatangkan dalam versi 250 dan versi berprestasi tinggi 360 hp dengan pacuan semua roda. Ketiga-tiga versi ini dilengkapi dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Antara teknologi yang dibawa oleh model ini termasuklah sistem suspensi aktif, Drive Assist (pemanduan semi autonomi Tahap 2), Park Pilot, Driver Attention Warning dan Night Vision.
No Comment