Ford Fiesta ST Dapat 235 hp Dengan Pakej Mountune
Syarikat ‘tuner’ yang sinonim dengan jenama Ford iaitu Mountune memperkenalkan pakej naik taraf terbaru yang dibangunkan untuk Fiesta ST (Mk8).
Dikenali sebagai m235, pakej tersebut merupakan lanjutan kepada pakej m225 sebelum ini yang menawarkan kuasa tambahan sebanyak 10 PS dan 10 Nm. Ini meningkatkan kuasa keseluruhan enjin EcoBoost 1.5-liter tiga silinder itu kepada 235 PS dan 350 Nm.
Seperti m225, pakej ini turut didatangkan dengan aplikasi mTune SMARTflash yang membolehkan pemandu menukar kalibrasi dengan hanya menggunakan telefon pintar.
Selain itu, ia juga hadir dengan tiga tetapan termasuk ciri anti-kecurian (Anti-Theft) yang akan menyahaktifkan kenderaan jika dicuri. Terdapat juga satu tetapan (Stock) yang membolehkan pemandu mengembalikan talaan kepada asal dan Performance yang menghasilkan bunyi dan Launch Control yang lebih agresif dalam mod Sport dan Track.
Satu lagi kelebihan pakej ini adalah pemandu tidak perlu lagi mengangkat kaki dari pedal pendikit ketika menukar gear.
Didatangkan dengan kotak udara aluminium, penapis udara beraliran tinggi, hos udara kedua serta adapter OBD, pakej m235 ditawarkan pada harga £575 (RM3,136).
No Comment