Ford GT 2020 Lebih Berkuasa
Setelah tiga tahun berada di pasaran, kini tiba giliran Ford GT untuk dinaik taraf dengan enjin yang lebih berkuasa dan pakej penampilan lebih menarik.
Bagi model tahun 2020, enjin 3.5-liter EcoBoost twin-turbo V6 yang terletak di belakang kokpit menghasilkan 660 hp, peningkatan sebanyak 13 hp berbanding versi sebelum ini.
Selain kuasa lebih tinggi, enjin tersebut kini menampilkan ‘torque band’ yang lebih lebar hasil dari kalibrasi yang disemak semula. Turut menyumbang adalah omboh dan gelung penyalaan baharu serta intercooler dan saluran udara yang lebih besar.
GT 2020 juga mempunyai ngauman enjin yang lebih garang dengan adanya sistem ekzos Akrapovic yang disertakan secara standard. Menurut Ford, ia 4 kg lebih ringan berbanding sistem ekzos standard.
Selari dengan peningkataan kuasa ini, Ford turut mempertingkatkan sistem suspensi GT menerusi tahap redaman yang lebih tinggi dalam mod Track.
Dari segi penampilan, Ford kini menawarkan dua pakej unik iaitu Liquid Carbon dan Gulf Racing. Sesuai dengan namanya, pakej Liquid Carbon menyerlahkan lagi corak gentian karbon pada panel badan GT menerusi penggunaan lapisan jernih (clear coat). Selain itu, pakej ini juga merangkumi rim gentian karbon.
Pakej Gulf Racing pula menampilkan skema warna biru/oren serta nombor 6 yang pernah digunakan oleh jentera lumba GT40 sewaktu memenangi perlumbaan Le Mans tahun 1968 dan 1969. Rim gentian karbon ditawarkan secara pilihan untuk pakej ini.
No Comment