Ford Troller TX4 Sedia Harungi Cabaran Lasak
Ford telah memperkenalkan Troller TX4 Automatic, sebuah trak 4X4 yang dibangunkan khas oleh Ford Brazil untuk memenuhi permintaan pasaran Amerika Selatan.
Jika dibandingkan dengan varian asas Troller T4, model baharu ini lebih lasak dengan kehadiran beberapa komponen baharu seperti bampar besi, pemijak sisi, ‘snorkel’ serta tayar off-road Pirelli Scorpion MTR bersaiz 245/70R17.
Walaupun dibina untuk aktiviti lasak, Troller TX4 ditawarkan dalam skema warna dwi tona yang ceria. Bahagian badan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Trancoso Brown, Maragogi Green dan Frosted Silver, manakala bahagian hadapan didatangkan standard dalam warna Navy Blue.
Bahagian dalaman menampilkan kelengkapan moden seperti sistem infotainmen 6.75 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto dan sistem pendingin hawa dua zon. Selain itu, terdapat juga panel tambahan yang dikhaskan untuk pemasangan sistem navigasi off-road.
Memacu Troller TX4 adalah enjin Duratorq 3.2-liter lima silinder yang menghasilkan 200 hp dan 470 Nm. Enjin diesel itu dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, ‘transfer case’ dua kelajuan serta sistem pacuan empat roda.
Bagi mendapatkan tahap cengkaman lebih tinggi terutamanya ketika melakukan aktiviti lasak, model ini juga dilengkapi dengan differential belakang yang boleh diaktifkan dengan menekan butang berdekatan tuil gear.
No Comment