Honda Accord 1.5L VTEC Turbo Masuk Pasaran Malaysia
Honda Malaysia hari ini melancarkan Honda Accord generasi ke-10 yang hadir dengan enjin VTEC Turbo. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5L VTEC Turbocharged (TC) dan 1.5L VTEC Turbocharged Premium (TC-P).
Dari segi reka bentuk, sedan segmen D ini mempunyai rekaan yang lebih luas, bumbung yang lebih rendah dan hud yang lebih panjang. Ia juga dilengkapi dengan lampu LED hadapan dan belakang, rim aloi 18 inci dengan resonator yang berfungsi mengurangkan bunyi tayar.
Di dalam, papan pemuka dipertingkatkan dengan paparan audio berukuran 8-inci manakala pemandu mendapat paparan kluster meter (TFT) interaktif berukuran 7-inci.
Ciri-ciri baharu lain termasuk tempat duduk empat talaan kuasa untuk penumpang dengan butang boleh laras, pengecas wayarles, fungsi memori untuk tempat duduk pemandu, Driver Attention Monitor, Walk Away Auto Lock dan penghidup enjin kawalan jauh.
Dari segi dimensi, jarak antara roda Accord yang meningkat sebanyak 55 mm secara tidak langsung menghasilkan ruang kaki belakang yang lebih luas dengan tambahan 48 mm.
Honda Malaysia turut mempertingkatkan kualiti pembinaan dari segi NVH dengan menggunakan teknologi pateri laser (laser brazing) untuk sambungan panel tepi bingkai-bumbung dan semburan buih (spray foam) sebagai penebat bunyi tambahan.
Selain itu, penggunaan pelekat berprestasi tinggi (High-Performance Adhesive) juga menambah baik struktur dan ketegaran fizikal kereta untuk ketahanan yang lebih baik, sekaligus mengurangkan bunuyi dan getaran.
Enjin 1.5-liter VTEC Turbocharged pada Accord serba baharu ini menghasilkan 201 PS dan 260 Nm, dengan transmisi jenis CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa tersebut ke roda hadapan. Model ini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle).
Dengan penarafan keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP, ia dilengkapi dengan Honda SENSING yang merangkumi lapan ciri iaitu:
- Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
- Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow)
- Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)
- Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
- Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (Collision Mitigation Braking System)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
- Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
- Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
Turut disertakan adalah Sistem Bantuan Parkir Pintar dengan Bantuan Brek (Belakang), serta sistem tambahan seperti kamera 360 darjah, Cross Traffic Monitor (CTM), Brek Parkir Elektrik dengan Bantuan Brek, dan Bantuan Brek.
Kesemua ciri baharu ini melengkapkan ciri-ciri Accord yang sedia ada seperti Honda LaneWatch, 6 beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), sensor parkir depan dan belakang dan ISOFIX tempat duduk belakang.
Harga Accord serba baharu bermula dair RM185,900 untuk varian 1.5L TC dan RM195,900 untuk 1.5L TC-P.
No Comment