Honda Jazz, City dan CR-V Ungguli Kaji Selidik J.D. Power Malaysia 2019
Honda Malaysia mengumumkan bahawa tiga model jualannya iaitu Jazz, City dan CR-V menduduki tangga teratas segmen masing-masing dalam Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) Malaysia 2019 yang dijalankan oleh J.D. Power untuk kualiti kenderaan baharu.
Menurut Honda Malaysia, Jazz dan City mendahului segmen kompak dan saiz pertengahan dengan masing-masing mencatat skor 68 PP100 dan 59 PP100.
Sementara itu, CR-V yang merupakan SUV bukan nasional terlaris pula mendahului segmennya untuk tahun kedua berturut-turut dengan 64 PP100.
Keputusan ini adalah berdasarkan kajian yang melibatkan aspek bahagian luaran kenderaan, enjin dan transmisi, konektiviti hiburan audio dan lain-lain.
Skor yang rendah mencerminkan prestasi kualiti yang lebih baik dan dicatat berdasarkan maklum balas dari bilangan masalah yang dialami setiap 100 kenderaan (PP100).
“Kami sangat gembira kerana model Honda mendapat tempat di hati pelanggan kami dengan ranking kualiti kenderaan baru,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.
Dari segi prestasi jualan, City menyumbang 36% kepada jumlah keseluruhan jualan Honda Malaysia pada 2019, manakala Jazz dan CR-V masing-masing menyumbang 13% dan 14%.
No Comment