Nikola Badger – Trak Pikap Elektrik Dengan Jarak Pemanduan 965 km
Persaingan dalam segmen trak pikap elektrik bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran Badger keluaran Nikola Motors.
Dengan sasaran untuk mencabar Tesla Cybertruck dan Rivian R1T, Badger dikatakan mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 965 km (600 batu).
Untuk perbandingan, Cybertruck menawarkan jarak pemanduan 800 km manakala R1T pula menawarkan 643 km.
Bagaimanapun, tidak seperti kedua-dua model tersebut yang dikuasakan oleh bateri, Badger menampilkan gabungan pek bateri lithium-ion dan sel bahan api hidrogen.
Dengan output mencecah 906 hp (puncak), 455 hp (berterusan) dan 1,329 Nm, trak elektrik ini hanya memerlukan 2.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j.
Menurut Nikola, jentera ini mempunyai kapasiti tunda sehingga 3,628 kg, menunjukkan bahawa ia sedia untuk melakukan kerja-kerja berat. Ia juga dilengkapi dengan outlet kuasa 15 kW yang dikatakan mampu memberikan kuasa di tapak pembinaan selama 12 jam tanpa bantuan penjana.
Untuk pengecasan, trak ini sesuai dengan pengecas standard industri. Selain itu, Nikola juga merancang untuk membangunkan 700 stesen hidrogen untuk pengguna di Amerika Syarikat.
Badger akan membuat penampilan sulungnya pada acara Nikola World 2020 yang dijangka berlangsung September ini.
No Comment