Nissan Guna GT-R Untuk Rakam GT-R NISMO 2020
Dengan enjin dan aerodinamik yang dinaik taraf serta berat yang dikurangkan, Nissan GT-R NISMO 2020 merupakan GT-R yang paling laju pernah dihasilkan setakat ini.
Dari satu sudut, ini adalah satu benda bagus untuk Nissan tetapi dari sudut yang lain, timbul pula persoalan bagaimana syarikat itu mahu merakam model terbarunya itu beraksi di litar lumba.
Untuk itu, Nissan menggunakan seorang pemandu profesional dan pakar video automotif yang pernah terlibat dalam rancangan TV dan filem berbajet besar, Mauro Calo. Beliau mengambil keputusan untuk menggunakan sebuah lagi GT-R untuk misi ini.
Calo sebelum ini merancang untuk menggunakan SUV berprestasi tinggi namun ia tidak cukup laju dan lincah untuk mengikut rapat pergerakan GT-R NISMO terutamanya di litar lumba.
Sebaik sahaja mendapat GT-R tersebut, Calo dan pasukannya memasang struktur tiub khas yang dikimpal pada casis bagi memastikan ia dapat menampung berat sistem kamera gimbal gentian karbon.
Dengan pusat graviti yang rendah dan sistem suspensi boleh laras, GT-R dianggap sebagai kereta yang paling sesuai untuk tugas ini. Walaupun hanya mempunyai dua pintu, kehadiran empat tempat duduk membolehkan Calo memuatkan keseluruhan krewnya (operator gimbal, penarik fokus dan pengarah) untuk mendapatkan rakaman terbaik.
Hasilnya, kedua-dua GT-R tersebut dilihat ‘mengejar’ antara satu sama lain di litar lumba Lausitzring di Brandenburg, Jerman dengan koreografi terancang yang diselaraskan menerusi walkie-talkie. Rakaman ini merupakan sebahagian daripada acara pratonton media untuk GT-R NISMO.
No Comment