Hyundai Dedah Perincian dan Foto Rasmi i30 Facelift
Hyundai i30 facelift bakal diperkenalkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2020 pada Mac ini namun sebelum itu, jenama dari Korea itu telah mendedahkan perincian mengenai model tersebut.
Rekaan luaran
i30 kini menampilkan reka bentuk yang lebih menonjol menerusi jeriji bercorak 3D dan lampu LED yang lebih langsing dengan grafik V pada bahagian hadapan dan belakang.
Selain bampar baharu, model ini juga hadir dengan rim aloi rekaan terkini dalam saiz 16 dan 17 inci. Tiga warna baharu ditawarkan iaitu Dark Knight, Silky Bronze dan Sunset Red.
Rekaan dalaman
Rekaan ruang dalaman turut dipertingkatkan dengan rekaan corong udara yang lebih moden dan kemasan baharu yang boleh didapati dalam pilihan warna Pewter Gray, Ebony Brown dan Charcoal Gray.
Selain itu, Hyundai turut menawarkan upholsteri fabrik, kulit atau gabungan kedua-duanya dalam lapan warna menarik.
Dari segi kelengkapan, i30 kini hadir dengan kluster digital berukuran tujuh inci dan skrin sentuh berukuran 10.25 inci yang menyokong fungsi navigasi, serta Apple CarPlay dan Android Auto.
Buat pertama kalinya, model ini turut mendapat teknologi Bluelink yang membolehkan pemandu menggunakan pelbagai perkhidmatan ketersambungan (Connected Services).
Barisan enjin
i30 akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Bagi petrol, pilihan bermula dengan enjin Dual Port Injection 1.5-liter dengan 110 PS yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Seterusnya, enjin 1.0-liter T-GDI dengan 120 PS dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan baharu. Enjin ini juga boleh didapati dalam versi ‘mild hybrid’ 48-volt dengan transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan.
Untuk diesel pula, Hyundai menawarkan enjin 1.6-liter dengan 115 PS atau 136 PS dengan teknologi mild-hybrid 48-volt. Kedua-duanya boleh didapati dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan manakala transmisi iMT hanya untuk versi mild-hybrid.
Varian tertinggi didatangkan dengan enjin mild-hybrid 1.5-liter T-GDI yang menghasilkan 160 PS. Pilihan transmisi untuk varian ini adalah iMT enam kelajuan dan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.
Sistem keselamatan
Kelengkapan utama yang terdapat pada i30 adalah pakej keselamatan Hyundai SmartSense yang menawarkan ciri-ciri berikut:
- Lane Following Assist (LFA)
- Rear Collision-avoidance Assist (RCA)
- Leading vehicle Departure Alert (LVDA)
- Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA)
- Front Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal
- Driver Attention Warning (DAW)
- High Beam Assist (HBA)
- Intelligent Speed Limit Warning (ISLW)
- Lane Keeping Assist (LKA)
No Comment