Kerajaan Malaysia Lancarkan Program Biodiesel B20
Kerajaan Malaysia telah melancarkan program biodiesel B20 yang akan dilaksanakan di dalam sektor pengangkutan secara berperingkat.
Program tersebut sebenarnya telah pun dijalankan di Langkawi dan Labuan pada Januari tahun ini, dan akan diperluaskan ke Sarawak pada April 2020, Sabah pada Ogos 2020 dan Semenanjung Malaysia pada Jun 2021.
Sebelum ini, kerajaan telah menjalankan program B10 dalam sektor pengangkutan pada Februari 2019 dan program B7 pada Julai 2019.
Selari dengan pelan implementasi program B20, kerajaan menjalinkan kerjasama dengan syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP untuk membekalkan bahan api tersebut kepada lebih 3,400 stesen petrol di seluruh negara.
Pengguna bagaimanapun masih boleh mendapatkan diesel Euro5 B7 di stesen minyak tertentu manakala di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang, dan Kundasang di Sabah, stesen petrol akan terus membekalkan B7.
Program ini dijangka dapat meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik sebanyak 534,000 tan setahun, selain membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 3.8 juta tan setahun.
Sementara itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata pihaknya dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memulakan ujian lapangan B20 untuk pengumpulan data dan sesi perundingan teknikal dengan pihak berkepentingan.
Antara pihak yang terlibat dengan ujian ini adalah pihak berkuasa tempatan Selangor iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Turut terlibat adalah pengedar kenderaan iaitu Tan Chong Industrial Equipment dan Hyundai Sime Darby Motors dan syarikat pengangkutan seperti FGV Transport Services dan SOP Transport.
Sejumlah 35 kenderaan dari Kementerian Industri Utama dan MPOB telah menggunakan B20 sejak Jun tahun lalu dan setakat ini tiada masalah dilaporkan.
No Comment