Toyota Gazoo Racing Festival ke Pulau Pinang 15-16 Feb
Pulau Pinang akan menjadi medan persaingan bagi pusingan ketiga Toyota Gazoo Racing Festival yang bakal menyaksikan pelumba dari tiga kategori Vios Challenge berentap di litar yang mencabar dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka di dalam kejuaraan berkenaan.
Perlumbaan di Stadium Batu Kawan pada 15-16 Februari 2020 nanti adalah sangat kritikal dalam menentukan kejuaraan di dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional. Ia merupakan perlumbaan terakhir yang dipertandingkan di litar jalanan sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada April.
Di dalam kelas Super Sporting untuk pelumba profesional, Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley ketika ini menjadi pendahulu dengan 36 mata, hanya berbeza lapan mata daripada pelumba Laser Motor, Mark Darwin dan diikuti oleh Kenny Lee dengan satu mata di belakang.
Dengan seramai 17 pemandu yang akan berentap, saingan di dalam kategori Sporting pula tidak kurang sengitnya. S&D Tama Motorsport dan Tom Goh sedang mendahului ketika ini dengan 28 mata, dua mata di hadapan Haji Sutan Mustaffa Salihin yang membuat penampilan sulung dalam TGR. Satu mata di belakangnya pula ialah Adam Khalid dari Crestmax Motorsport, diikuti oleh seorang lagi pendatang baru dan pemandu muda TGR, Bradley Benedict Anthony dengan 22 mata.
Mendahului kategori Promotional ketika ini ialah pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad yang memiliki kelebihan empat mata di hadapan juara Musim 1 Shawn Lee dengan 28 mata. Penyanyi Khai Bahar pula menduduki tempat ketiga.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, TGR Festival kembali lagi ke Pulau Pinang untuk musim ketiga berturut-turut dengan barisan aktiviti yang menarik untuk dihidangkan kepada pengunjung dan peminat sukan perlumbaan.
“Keserononokan TGR Festival tidak hanya terhad kepada aksi-aksi di dalam litar sahaja, tetapi turut disumbangkan juga oleh banyak lagi aktiviti aktiviti keluarga yang lain. Antaranya ia akan menampilkan pameran barisan kenderaan terbaru Toyota, persembahan drift, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas, persembahan oleh selebriti, aktiviti-aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan cenderahati serta sesi bertemu peminat bersama selebriti-selebriti kategori Promotional. Turut akan dipamerkan ialah kereta GR Supra!”
No Comment