Toyota Vios Challenge Pusingan 3: Keputusan dan Galeri
Hari kedua dan terakhir pusingan ketiga Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge menutup tirai dengan tiga perlumbaan dramatik di perkarangan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang.
Aksi sengit dalam kelas-kelas yang dipertandingkan iaitu Super Sporting, Sporting dan Promotional membuatkan lebih 15,000 pengunjung yang hadir berdebar-debar.
Kelas Super Sporting
Bagi kelas profesional ini, Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota merangkul kemenangan dalam Perlumbaan 2 di hadapan William Ho dari Toyotsu dan juara bertahan Boy Wong.
Freddie membuktikan kehebatannya apabila berjaya menjarakkan diri dari pesaing sejak mula perlumbaan hingga akhir manakala Ho cuba mengejar namun gagal memotong pelumba itu.
Pemenang Perlumbaan 1 iaitu Tengku Djan Ley bagaimanapun tidak begitu bernasib baik apabila beliau melanggar penghalang konkrit seawal lap pertama.
Kelas Sporting
Saingan dalam kelas untuk pelumba amatur ini tidak kurang hebatnya dengan dua insiden melibatkan kereta keselamatan yang akhirnya menjadi penentu penamat.
Bermula dari petak hadapan, To Goh dari S&D Tama Motorsport mengetuai perlumbaan di hadapan Bradley Benedict (Dream Chaser), Adam Khalid (Crestmax Motorsports), Haji Sutan Mustaffa Salihin (SMS Motorsports) dan Kenneth Koh (Panglima City Racing Team).
Perlumbaan bagaimanapun terhenti seketika pada lap kedua selepas perlanggaran yang melibatkan enam kereta. Sebaik sahaja aksi dimulakan semula, empat daripada 16 kereta yang bertanding tersingkir.
Goh meneruskan dominasi beliau, sekaligus meninggalkan Haji Sutan dan Bradley di belakang dengan jarak dua saat namun usahanya menjadi sia-sia apabila kereta keselamatan terpaksa dikeluarkan buat kali kedua selepas Shanmuganathan Arumugam terlibat dalam perlanggaran.
Dengan berbaki dua lap, Bradley Benedict terus mengasak Goh sebelum berjaya memotong pesaingnya itu di saat-saat akhir perlumbaan. Goh terpaksa berpuas hati dengan naib juara manakala Haji Sutan mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.
Kelas Promotional
Persaingan antara selebriti tempatan kali ini menyaksikan Shukri Yahya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee sekali lagi muncul sebagai tiga pelumba teratas.
Shukri memulakan perlumbaan dengan cemerlang apabila berjaya memperbaiki kedudukan dari petak kesembilan ke tempat kedua, memotong Nabila Razali dan Wany Hasrita yang nyata kurang fokus.
Sementara itu, Janna Nick yang memulakan saingan di petak pertama hanya sempat mendahului perlumbaan untuk dua lap sebelum dipotong oleh Shukri.
Menjelang lap keempat, Nabil mengatur langkah untuk merebut tempat kedua dari Janna yang juga terpaksa menghalang asakan bertubi-tubi dari Lee. Pelakon jelita itu dilihat bertungkus-lumus mempertahankan kedudukannya namun sentuhan dari Lee membuatkan beliau berpusing.
Diana Danielle dan Nabila Razali berjaya mengelak namun pelakon Syafiq Kyle gagal berbuat demikian lalu melanggar kereta Janna.
No Comment