Volkswagen Touareg R – PHEV Berprestasi Tinggi
Selepas memperkenalkan T-Roc R setahun yang lalu, Volkswagen kini kembali dengan satu lagi model SUV berprestasi tinggi iaitu Touareg R.
Bakal membuat penampilan di Geneva Motor Show pada Mac ini, Touareg R dikuasakan oleh sistem hibrid plug-in yang terdiri daripada enjin turbo 3.0-liter V6 dengan 340 PS dan sebuah motor elektrik dengan 136 PS.
Gabungan kedua-dua elemen tersebut menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 462 PS dan 700 Nm. Transmisi Tiptronic lapan kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Motion.
Masa pecutan 0-100 km/j tidak didedahkan, namun menurut Volkswagen jentera ini mampu memecut sehingga 250 km/j. Bateri lithium-ion berkapasiti 14.1 kWh membolehkan ia dipandu dengan kuasa elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j.
Untuk pengurusan kuasa bateri, Touareg R dilengkapi dengan dua mod iaitu Hybrid dan E-Mode. Selain itu, mode Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual disediakan untuk pemanduan di atas jalan dan Offroad dan Snow untuk pemanduan off-road.
Dari segi penampilan, model ini mendapat bampar R-Style dengan kemasan hitam berkilat, logo R serta lampu belakang yang digelapkan. Imej agresifnya dilengkapkan dengan rim aloi Braga berukuran 20 inci.
Di dalam, kelengkapan ‘R’ merangkumi trim hiasan aluminium berwarna Silver Wave pada papan pemuka dan pintu, upholsteri kulit Vienna, logo R pada perehat kepala, stereng multifungsi dengan balutan kulit, pedal keluli tahan karat dan pencahayaan ambien berwarna putih.
Turut disertakan adalah kokpit digital 12 inci, sistem infotainmen Discover Premium dengan skrin sentuh 15 inci, lampu IQ.Light LED Matrix dan sistem pendingin hawa empat zon.
Antara kelengkapan pilihan yang ditawarkan untuk Touareg R adalah warna luaran Lapiz Blue Metallic, rim 21 dan 22 inci, upholsteri kulit Puglia dengan jahitan Sepang Blue, sistem audio Dynaudio, Night Vision dan pelbagai lagi.
No Comment