Volvo S90, V90 Diberikan Facelift
Volvo telah memperkenalkan S90 dan V90 versi facelift yang hadir dengan penambahbaikan dari aspek rekaan dan kelengkapan.
Oleh kerana reka bentuk luaran Siri 90 sudah cukup segak, pereka Volvo hanya memberikan sedikit sentuhan segar pada lampu kabus, spoiler dan bahagian bawah bampar hadapan.
Pada V90 dan V90 Cross Country, ciri yang paling menyerlah adalah signatur LED dan lampu isyarat berjujukan pada lampu belakang.
Di dalam, sistem audio Bowers and Wilkins telah dinaik taraf dengan subwoofer baharu dan ciri pembatalan hingar automatik. Turut disertakan adalah tetapan kelab jazz baharu.
Satu lagi ciri terkini adalah pembersih udara (Advanced Air Cleaner) dengan sensor partikel PM 2.5. Asalnya dibangunkan untuk model pasaran China, ciri ini membolehkan pemandu memantaui kualiti udara kabin menerusi skrin tengah.
Selain itu, ia juga boleh menyingkir partikel kecil dari udara di dalam kabin dalam masa hanya beberapa minit.
Seperti model Siri 60, model Siri 90 didatangkan dengan port USB-C di belakang bagi menggantikan outlet 12 volt sebelum ini. Fungsi pengecasan tanpa wayar turut disediakan.
Volvo turut mengumumkan bahawa S90 dan V90 kini boleh didapati dengan tren kuasa mild hybrid 48-volt seperti yang terdapat pada XC90, Siri 60 dan XC40. Tren kuasa ini dikatakan menawarkan penjimatan bahan api sehingga 15 peratus.
No Comment