Wajah Hyundai i30 Facelift Didedahkan
Hyundai telah mendedahkan gambar teaser i30 facelift sebelum model itu diperkenalkan sepenuhnya di Geneva Motor Show yang akan berlangsung pada 5 Mac ini.
Gambar tersebut menunjukkan beberapa penambahbaikan melibatkan reka bentuk seperti bampar dan lampu LED baharu berserta lampu nyalaan siang berbentuk V.
Bagi model N Line pula, bampar hadapan yang direka semula serta corak mesh baharu pada jeriji memberikan imej yang lebih lebar dan agresif berbanding versi standard.
Selain itu, i30 juga bakal tampil dengan bampar dan lampu belakang baharu, serta rim aloi berukuran 16, 17 dan 18 inci dengan rekaan terkini.
Reka bentuk ruang dalaman turut diberi sentuhan segar dengan kluster instrumen digital baharu dan paparan berukuran 10.25 inci. Menurut Hyundai, lebih banyak gambar akan disiarkan dalam minggu-minggu mendatang.
Syarikat itu turut mengesahkan bahawa versi N Line juga akan ditawarkan pada i30 Wagon. Ini bermakna buat pertama kalinya versi sporty itu boleh didapati pada semua varian i30.
No Comment