Bentley Bacalar Hasil Tangan Mulliner
Digelar sebagai Bentley dua pintu paling ‘rare’, Bentley Bacalar merupakan hasil tangan ‘coachbuilder’ tertua dunia iaitu Mulliner. Maka, tidak hairanlah hanya 12 unit akan dihasilkan dengan harga bermula dari £1.5 juta (RM8.3 juta).
Menurut Bentley, rekaan model terbaru ini diilhamkan daripada model konsep EXP 100 GT yang diperkenalkan pada 2019 sempena ulang tahun ke-100 jenama itu. Bagaimanapun, ia tidak mempunyai bumbung dan hanya dua tempat duduk disediakan.
Jika dibandingkan dengan Continental GT, bahagian Bacalar lebih lebar sebanyak 20 mm bagi menghasilkan imej yang lebih sporty. Ia didatangkan dengan rim 22 inci dengan kemasan tiga tona eksklusif.
Ruang kabin tidak kurang hebatnya, menampilkan penggunaan bahan-bahan yang lestari seperti kayu Riverwood pada papan pemuka dan kain bulu (wool) semulajadi pada tempat duduk. Setiap pembelian Bacalar didatangkan dengan set bagasi keluaran jenama dari Itali iaitu Schedoni.
Bacalar dikuasakan oleh enjin twin-turbo 6.0-liter W12 yang menghamburkan 650 hp dan 900 Nm. Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, ia memerlukan 3.5 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 322 km/j.
Sistem Active AWD ditugaskan untuk membahagikan kuasa kilas antara tayar hadapan dan belakang. Semasa pemanduan normal, kuasa akan disalurkan ke roda belakang untuk mencapai keseimbangan antara kecekapan optimum dan prestasi dinamik.
Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan sistem suspensi udara dengan casis adapatif Dynamic Ride System 48 volt.
No Comment