COVID-19: Jangan Keluar Rumah dan Bantu Kurangkan Penyebaran
Semalam, Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan bahawa orang ramai perlu mendapat kebenaran jika mahu keluar dari negeri masing-masing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Menurut pihak polis, sesiapa yang ingin pergi ke negeri lain dikehendaki mengemukakan permohonan ke balai polis terdekat.
Bagaimanapun, apabila menyedari bagaimana ia telah membawa kepada kekecohan di balai polis di seluruh negara, beliau telah memutuskan untuk membatalkan peraturan perjalanan antara negeri tersebut buat sementara waktu. Menurut pelbagai sumber berita, keputusan baru akan dibuat selepas mesyuarat khas hari ini (18 Mac).
Ini bermakna orang ramai bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja di negara ini tetapi memandangkan pandemik COVID-19 yang semakin teruk yang telah mencatat dua kematian pertama semalam, kami menasihatkan anda untuk tidak keluar dari rumah dan hadkan perjalanan.
Bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman, jadilah lebih bertanggungjawab dan tangguhkan dulu hasrat anda bagi meminimumkan kontak antara manusia sekaligus mengekang penyebaran virus tersebut.
Anda mungkin fikir bahawa anda tidak dijangkiti namun perlu diingat bahawa virus COVID-19 telah terbukti mempunyai tempoh inkubasi yang panjang dan simptom jangkitan mungkin tidak muncul sehingga beberapa minggu kemudian.
Jadi jika anda kekal di mana jua anda berada, anda sebenarnya sedang melakukan kebaikan kepada semua orang dan secara tidak langsung tidak meletakkan nyawa orang yang anda sayang dalam bahaya. Tambahan pula, inilah masa yang terbaik untuk menggunakan media sosial untuk berinteraksi dan kekal berhubung dengan keluarga anda di kampung.
No Comment