Ducati Jual 53,183 Unit Motosikal Pada 2019
Ducati mengakhiri tahun 2019 dengan catatan positif dengan jualan berjumlah 53,183 unit motosikal di peringkat global, naik 1.4% berbanding 53,004 yang dicatatkan pada 2018.
Dengan jumlah itu, Ducati turut berjaya mengekalkan jualan melebihi 50,000 unit untuk lima tahun berturut-turut.
Jumlah perolehan Ducati mencecah 716 juta Euro dengan pertumbuhan sebanyak 2.4% berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan operasi turut meningkat dari 49 juta Euro pada 2018 kepada 52 juta Euro tahun lalu.
Menurut Ducati, jumlah perolehan bagi setiap unit motosikal yang dijual adalah berjumlah 13,500 Euro, menjadikannya nilai paling tinggi dalam sejarah pengeluar motosikal dari Itali itu.
Dua model yang menjadi penyumbang terbesar kepada prestasi jualan Ducati adalah Panigale dan Multistrada. Panigale dinobat sebagai motosikal super sport paling laris untuk dua tahun berturut-turut dengan pegangan pasaran sebanyak 25%.
Sementara itu, pelancaran varian 950 S dan 1260 Enduro ke dalam barisan Multistrada menyaksikan model itu mencatatkan nilai tertinggi sejak ia dilancarkan pada 2003.
Ducati Motor Holding mempunyai sejumlah 1,655 kakitangan, dengan rangkaian jualan yang terdiri daripada 720 pengedar dan pusat servis di lebih 90 buah negara.
No Comment