Isuzu D-Max 1.9L Berjaya Buktikan Kemampuannya
Enjin diesel 1.9-liter BluePower yang dibangunkan oleh Isuzu terbukti boleh dipercayai dan kuat selepas ia melengkapkan perjalanan sejauh 1,145 km melalui kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa.
Menjadikan pencapaian ini lebih mengagumkan adalah D-Max Single Cab yang digunakan dalam cabaran ini membawa beban seberat melebihi 1,000 kg dan menamatkan perjalanannya dengan bahan api masih berbaki dua takuk.
“Kemampuan penjimatan Isuzu D-Max terus berada pada tahap membanggakan. Walaupun ia sebuah trak pikap dengan kapasiti enjin yang paling kecil dalam pasaran ketika ini, Isuzu D-Max 1.9 Blue Power menyelesaikan cabaran berkenaan dengan mudah dan meyakinkan.
Ini secara langsung mencadangkan bahawa ia boleh menggalas apa sahaja tugasan yang diberikan kepadanya,” jelas Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.
Sebelum memulakan perjalanannya dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang, pemeriksaan menyeluruh dilakukan oleh PUSPAKOM bagi mengesahkan bahawa D-Max Single Cab yang digunakan adalah unit standard yang sama di bilik pameran dan jumlah beban yang dibawa melebihi 1,000 kg.
Dengan bahagian muatan, bonet serta tangki minyak ditutup, trak itu menuju ke Utara untuk cabarannya yang pertama — Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Grik di Perak dengan laluan mendaki berketinggian 1,052 m. Ia kemudiannya menuju ke Ipoh untuk menamatkan cabaran hari pertamanya.
Keesokan harinya, cabaran yang dilalui lebih sukar apabila ia mendaki ketinggian 1,112 m ke Tanah Rata di Cameron Highlands sebelum melanjutkan perjalanan ke Fraser’s Hill (1,222 m) melalui Raub.
Seterusnya, cabaran perjalanan D-Max lebih getir iaitu merentasi laluan mendaki berketinggian 1,604 m menuju Genting Highlands sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam.
Unit Single Cab itu mencatat purata penggunaan bahan api 7.2l/100 km (13.7 km/l) berdasarkan bacaan pada meter dalamannya.
“Melalui teknologi maju, unit enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang digunakan ialah yang paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motors. Ini telah dibuktikan dengan jelas di dalam percubaan yang dilakukan ini.
Memang ada kenderaan lain boleh menjelajah jarak yang jauh dengan hanya satu tangki bahan api, sesetengah yang lain pula boleh membawa beban 1 tan serta melalui jalan mendaki dipergunungan. Tetapi, untuk sebuah kenderaan mampu melakukan ketiga-tiganya sekali dengan cemerlang, ia sesuatu yang menakjubkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.
No Comment