Ford Lancarkan ‘Jurujual Digital’ di Malaysia
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia hari ini melancarkan ‘Jurujual Digital’ yang merupakan talian pertanyaan WhatsApp khusus untuk melayan pertanyaan-pertanyaan berkenaan pembelian kenderaan.
Perkhidmatan ini boleh digunakan bermula hari ini sehingga 30 Jun. Namun menurut SDAC, ia boleh dilanjutkan bergantung kepada permintaan.
“Dengan Perintah Pergerakan Kawalan yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020, kami memperkenalkan ‘Jurujual Digital’ sebagai alternatif untuk para pelanggan menghubungi kami secara maya. Ini kerana kami faham dan prihatin tentang para pelanggan yang ingin membeli kenderaan kami, tetapi tidak dapat datang ke bilik pameran pada ketika ini,” kata Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion.
Beliau menambah bahawa perkhidmatan alternatif ini akan terus ditawarkan selepas PKP dihentikan nanti untuk kemudahan para pelanggan yang memilih untuk menghadkan perjumpaan fizikal.
‘Jurujual Digital’ akan membantu menjawab pertanyaan para pelanggan berkenaan produk dan juga promosi yang melibatkan kenderaan yang mereka inginkan.
Selain itu, perkhidmatan ini juga bertujuan untuk menghubungkan jurujual Ford yang berdaftar di lokasi terdekat para pelanggan.
Apabila pelanggan dihubungkan dengan jurujual Ford yang sah, para pelanggan berpeluang untuk mendapatkan maklumat tentang warna dan stok sedia ada, promosi yang berlangsung di bilik pameran, pilihan pembiayaan, cukai jalan dan yuran pendaftaran kenderaan serta pilihan insurans.
Melalui inisiatif ini juga, para pelanggan boleh melakukan transaksi mengikut kesesuaian mereka – di samping tidak ketinggalan mendapatkan promosi-promosi musim perayaan yang bakal ditawarkan.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dihentikan, ‘Retail Customer Order’ dan dokumen permohonan pembiayaan perlu ditandatangi dan seterusnya diproses.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Perdagangan dan Pengedaran, Malaysia, Sime Darby Motors menambah “Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dihentikan, kami mengalu-alukan kedatangan para pelawat ke bilik-bilik pameran flagship yang terletak di pusat automotif terbaharu kami di Sime Darby Motors, Ara Damansara, termasuk bilik-bilik pameran yang terdapat di serata negara.”
“Kami mahu meyakinkan para pelanggan kami bahawa langkah-langkah pengawasan telah diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para kakitangan dan para pelawat, termasuk mempraktikkan jarak sosial. Di beberapa bilik pameran tertentu, kami telah menggerakkan langkah pengawasan di mana semua pelawat harus menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, selain menyediakan cecair sanitasi di sekitar bilik pameran kami,” tambah beliau.
‘Jurujual Digital’ akan berkhidmat antara jam 9 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Jumaat. Para pelanggan hanya perlu menghantar pertanyaan menerusi teks ke talian WhatsApp +6019-204 1200 dan semua pertanyaan akan dilayan dalam tempoh 24 jam.
No Comment