Lexus UX 200 Masuk Pasaran Malaysia Dengan Harga Dari RM243,888
Selepas dibuka untuk tempahan pada 17 Februari lalu, Lexus UX kini dilancarkan secara rasmi. Bagi pasaran Malaysia, UX ditawarkan dalam versi UX 200 dengan tiga pilihan varian iaitu Urban, Luxury dan F-Sport.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, UX 200 Urban ditawarkan pada harga RM243,888, UX 200 Luxury pada RM283,888 manakala UX 200 F-Sport pula berharga RM299,888.
Ketiga-tiga varian menampilkan enjin petrol Dynamic Force 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 169 hp dan 205 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi Direct-Shift CVT 10 kelajuan yang memacu roda hadapan.
Dari segi kelengkapan, UX hadir dengan lampu LED berserta lampu nyalaan siang LED berbentuk L. Setiap unit lampu mempunyai tiga unit Bi-LED ultra kompak. Jeriji ‘spindle’ didatangkan dengan corak tiga dimensi bagi versi Urban dan Luxury dan mesh bagi F-Sport.
Di belakang, model ini menampilkan reka bentuk lampu belakang yang dikenali sebagai Aero Stabilizing Blade Lights yang direka khas untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Bagi pilihan rim pula, versi Urban rim 17 inci dengan rekaan Aero Ventilating, manakala Luxury dan F-Sport mendapat rim berukuran 18 inci, masing-masing dengan kemasan yang berbeza.
Ruang kabin UX menampilkan konsep ‘Seat in Control’ yang diadaptasi dari LC 500. Ia juga menampilkan perincian yang premium seperti kemasan ‘washi’ pada papan pemuka dan teknik jahitan ‘sashiko’ pada tempat duduk.
Pilihan warna yang disediakan adalah Cobalt dan Black untuk UX 200 Urband, dan Cobalt, Orcher dan Black untuk UX 200 Luxury. Warna Flare Red dan F-Sport Black pula adalah eksklusif untuk UX 200 F Sport.
Dari segi kelengkapan, versi Urban dan Luxury hadir dengan instrumen TFT LCD berukuran tujuh inci, manakala F-Sport dilengkapi dengan instrument TFT LCD lapan inci dengan paparan yang berbeza mengikut mod pemanduan.
Bagi sistem infotainmen pula, versi Luxury dan F-Sport didatangkan dengan skrin 10.3 inci dan lapan pembesar suara, manakala versi Urban mendapat skrin tujuh inci dengan enam pembesar suara. Apple CarPlay dan Android Auto adalah standard pada semua varian.
Selain itu, semua varian turut mendapat Lexus Safety System (LSS+) yang merangkumi ciri-ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Dinamik Radar (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Bantuan Pengesan Lorong (LTA) serta Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS). Versi Luxury dan F-Sport mendapat ciri tambahan iaitu Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Pemantau Pandangan Panoramik (PVM).
No Comment