Mazda MX-5 Eunos Edition Kembalikan Nostalgia
Dari 1989 hingga 1996, Mazda sebenarnya pernah mempunyai sub-jenama mewah yang dikenali sebagai Eunos.
Dikhaskan untuk pasaran Jepun sahaja, antara produk Eunos yang paling ikonik adalah MX-5 S-Limited yang dilancarkan pada 1992. Model eksklusif berwarna hitam ini hadir dengan upholsteri merah dan rim BBS berwarna emas.
Sebagai memperingati model tersebut, Mazda telah melancarkan MX-5 Eunos Edition yang menampilkan konsep yang sama. Bagaimanapun, model ini hanya ditawarkan di Perancis dalam bilangan yang terhad iaitu 110 unit sahaja.
MX-5 Eunos Edition didatangkan dalam warna Jet Black Mica bagi bahagian luaran manakala ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit Nappa dalam warna merah Burgundy. Melengkapkan imej model edisi terhad ini adalah rim tempaan RAYS berukuran 16 inci.
Tiada penambahbaikan pada aspek prestasi bermakna model ini kekal dengan enjin Skyactiv-G 2.0-liter yang menghasilkan 181 hp, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.
Setiap pembelian didatangkan dengan lencana nombor siri dan rantai kunci eksklusif. Bakal memasuki pasaran bermula April ini, MX-5 Eunos Edition ditawarkan pada harga €34,600 (RM166,504).
No Comment