Nissan Daftar Tanda Dagangan Logo Baharu
Nissan dilaporkan telah mendaftarkan tanda dagangan untuk logo baharu jenamanya di Great Britain, Peru, Uruguay, Chile dan Argentina. Bukan itu sahaja, tanda dagangan untuk logo ‘Z’ baharu untuk barisan kereta sport-nya turut didaftarkan di Kanada dan New Zealand.
Berbeza dengan logo Nissan sedia ada yang menampilkan rekaan tiga dimensi dengan kemasan krom, logo baharu tersebut dilihat lebih ringkas dengan penggunaan font Sans Serif untuk nama syarikat dan lengkok pada bahagian atas dan bawah.
Konsep minimalistik ini mengingatkan kami kepada logo baharu Volkswagen dan BMW. Adakah ini akan menjadi trend terbaru di kalangan pengeluar-pengeluar kereta selepas ini?
Sementara itu, logo Z tersebut pula adalah satu ‘throwback’ kepada logo yang mulanya digunakan pada Datsun 240Z, diikuti dengan 260Z dan 280Z. Perbezaan logo retro ini adalah ia mempunyai tanda ‘slash’ di tengah.
Pendaftaran tanda dagangan ini menunjukkan yang Nissan bakal mempunyai pengganti 370Z tidak lama lagi. Menurut laporan, model yang akan datang itu menampilkan enjin 3.0-liter twin-turbo V6 dari model Infiniti Q50 dan Q60, dan akan menggunakan nama ‘400Z’ yang merujuk kepada bilangan kuasa kuda yang ada padanya.
No Comment