Pandu Uji Ringkas – Lexus UX 200 Luxury
Lexus UX merupakan percubaan pertama jenama mewah dari Jepun itu dalam segmen crossover kompak yang dilihat semakin lama semakin popular. Diposisikan di bawah model RX dan NX, UX merupakan pesaing utama kepada BMW X1, Mercedes-Benz GLA dan Volvo XC40.
Semasa sesi pandu uji media dari Damansara ke Putrajaya baru-baru ini, kami mendapati UX adalah antara yang terbaik dalam segmennya dari segi reka bentuk, pemanduan serta pakej yang ditawarkan.
Bagi pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam versi UX 200 dengan tiga pilihan varian iaitu Urban (RM243,888), Luxury (RM283,888) dan F-Sport (RM299,888). Varian Luxury yang kami sempat pandu uji terbukti sangat tidak mengecewakan dan tidak keterlaluan jika dikatakan yang ia bakal memberikan tentangan hebat kepada pesaing-pesaing terdekatnya.
Dari segi reka bentuk, penulis secara peribadi merasakan yang ia adalah model paling cantik dalam segmen crossover kompak mewah. Bentuk lampu yang tajam dengan lampu nyalaan siang LED bermotifkan kepala anak panah serta jeriji ‘spindle’ memberikan UX wajah yang garang dan menarik untuk dilihat.
Tetapi apa yang penulis paling suka adalah bentuk lampu belakang yang inovatif. Bentuknya yang merentasi keseluruhan bahagian belakang bukan sahaja nampak mewah, malah sebenarnya berkesan dalam menyumbang kepada kecekapan aerodinamik. Dalam erti kata lain, ia juga berfungsi sebagai ‘spoiler’.
Seperti yang dijangka, ruang kabin UX menampilkan kekemasan dan kemewahan yang sentiasa ditekankan oleh jenama Lexus. Bukan itu sahaja, tahap mutu kerja yang tinggi juga boleh dilihat dan dirasakan dengan jelas. Sebagai contoh, permukaan papan pemuka diliputi oleh trim yang diinspirasikan oleh kertas Washi yang biasa di rumah-rumah tradisional Jepun.
Selain itu, upholsteri kulit pada tempat duduk menampilkan jahitan Sashiko yang merupakan teknik tradisional yang digunakan dalam pembuatan uniform judo dan kendo sejak 1,200 tahun yang lalu. Dengan 10 jahitan setiap inci, teknik ini dikatakan dapat memberikan ketahanan untuk jangka masa yang lama.
Selain keterperincian yang menakjubkan, ruang kabin UX turut dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih dan terkini. Untuk pemandu, panel instrumen TFT LCD berukuran tujuh inci memaparkan pelbagai maklumat dan info dengan jelas. Ia mempunyai grafik meter yang berbeza mengikut mod pemanduan yang dipilih.
Sistem infotainmen pula terdiri daripada skrin 10.3 inci yang boleh dikawal dengan mudah menerusi pad sentuh Remote Touch Interface (RTI) yang terletak pada konsol tengah. Turut disertakan adalah Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles, sistem audio premium Lexus dengan lapan pembesar suara, empat port USB dan dua soket 12V.
Di bawah hud, UX 200 didatangkan dengan enjin M20A-FKS berkapasiti 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 169 hp pada 6,600 rpm dan dan 205 Nm pada 4,800 rpm. Ketiadaan turbo seperti NX amat dirasakan di sini, namun keupayaan enjin baharu ini tidak boleh diperlekehkan kerana bagi penulis kuasa yang dijana boleh dikira cukup untuk sebuah crossover urban seperti NX.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi Direct-Shift CVT. Tidak seperti CVT biasa, unit ini dilengkapi dengan ‘mechanical gear transfer’ yang berfungsi untuk membantu pecutan apabila kenderaan mula bergerak. CVT kemudiannya akan mengambil alih tugas setelah kenderaan mencapai kelajuan sederhana dan tinggi.
Penggunaan platform GA-C (Global Architecture-Compact) jelas memberikan UX kelebihan dari segi pengendalian dan keselesaan. Gabungan struktur yang tegar dan suspensi jenis ‘multi-link double wishbone’ pada bahagian belakang menghasilkan pemanduan yang responsif walaupun dengan perubahan arah yang berturut-turut. Ini boleh dirasakan dengan jelas ketika penulis melakukan ujian ‘slalom’.
NVH (Noise, Vibration and Harshness) juga berada pada tahap yang rendah, sesuai dengan status kemewahan jenama Lexus. Bunyi bising dari angin dan tayar tidak begitu kedengaran sepanjang perjalanan, manakala ngauman enjin hanya dapat didengari dengan jelas ketika pendikit ditekan dengan kuat dalam mod Sport.
Sebagai rangkuman, sekali lagi ingin penulis tekankan yang UX adalah antara crossover terbaik pernah penulis pandu uji. Dari segi pemanduan, ia lebih terasa seperti sebuah sedan atau hatchback berbanding crossover. Tetapi jangan salah sangka kerana ia juga mempunyai kelemahannya. Bagi penulis, ruang but berkapasiti 228 liter adalah terlalu kecil untuk segmennya.
Namun jika dibandingkan dengan pesaingnya, UX membawa nilai yang terbaik untuk pembeli. Pada harga bermula RM243,88 bagi varian Urban, anda mendapat pelbagai kelengkapan termasuk Lexus Safety System+ yang merangkumi pelbagai ciri keselamatan tercanggih. Bagi penulis, ini adalah tawaran yang cukup bagus dan berbaloi.
Spesifikasi Lexus UX 200 Luxury
Enjin: petrol empat silinder
Kapasiti: 1,987 cc
Kuasa: 169 hp @ 6,600 rpm
Tork: 205 Nm @ 4,800 rpm
Transmisi: Direct-Shift CVT
0-100 km/j: 9.2 saat
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM283,888
No Comment