Volkswagen Golf RS 450 Hasil Tangan Manhart
Jika anda ingat, Volkswagen sebelum ini pernah merancang untuk menghasilkan varian Golf R yang lebih berkuasa seperti R400 dan R420 tetapi akibat skandal Dieselgate yang melanda syarikat itu, tidak ada satu pun yang menjadi kenyataan.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna pelanggan tidak mempunyai alternatif lain kerana masih banyak ‘tuner’ di luar sana yang mempunyai kepakaran untuk memerah lebih banyak kuasa dari Golf R. Salah satu daripadanya adalah Manhart.
Sekilas pandang, jentera bergelar RS 450 ini mungkin tampak biasa sahaja tetapi ia sebenarnya mempunyai 450 hp dan 500 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 140 hp dan 100 Nm berbanding model standard.
Pencapaian kuasa ini dicapai menerusi talaan ECU, penggunaan pengecas turbo yang lebih besar serta sistem ambilan udara karbon dari Eventuri. Selain itu, sistem ekzos Manhart memberikan bunyi yang lebih garang dan sesuai dengan jumah kuasa yang ada.
Dari segi penampilan, RS 450 hadir dengan lip spoiler dari Rieger Tuning, set pelekat berwarna perak dan rim aloi Manhart Concave One berukuran 19 inci yang dipadankan dengan tayar 235/35.
Turut disertakan adalah set gegelung H&R yang bukan sahaja memberikan ‘stance’ yang lebih agresif, malah mampu meningkatkan aspek pengendalian hatchback ini.
No Comment