BMW 8 Series Gran Coupe Kini di Malaysia
BMW Malaysia hari ini melancarkan BMW 8 Series Gran Coupe untuk pasaran tempatan. Ditawarkan dalam varian 840i M Sport, Gran Coupe merupakan versi empat pintu kepada 8 Series Coupe yang dilancarkan pada Mac tahun lalu.
Seperti yang tertera pada namanya, jentera ini hadir dengan pakej BMW M Sport yang merangkumi kit badan M Aerodynamic dan rim aloi ‘Y’ 728 M Bicolour berukuran 20 inci. Lampu laser pada bahagian hadapan dan lampu LED pada bahagian belakang turut disertakan.
840i M Sport ditawarkan dalam enam warna iaitu Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange.
Di dalam, model ini mendapat upholsteri kulit yang membaluti papan pemuka, stereng dan tempat duduk, di samping elemen kaca ‘CraftedClarity’. Pilihan warna yang ditawarkan adalah Black, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.
Antara kelengkapan standard yang tersedia adalah kluster instrumen 12.3 inci yang bersambung dengan Paparan Kawalan skrin sentuh berukuran 10.25 inci, sistem operasi BMW 7.0, paparan ‘head-up’, tirai gulung, dan bumbung kaca panoramik.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan BMW Personal CoPilot yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemandu termasuki Parking Assistant Plus.
840i dikuasakan oleh enjin BMW TwinPower Turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang menjana 340 hp pada 5,000 – 6,500 rpm dan 500 Nm pada 1,600 – 4,500 rpm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan yang menggerakkan tayar belakang, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Menyumbang kepada aspek dinamik pemanduan adalah ‘differential’ M Sport di gandar belakang untuk mendapatkan cengkaman maksimum, Integral Active Steering dan sistem suspensi adaptif dengan peredam yang dikawal secara elektronik.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dan termasuk Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) 840i Gran Coupé M Sport adalah RM968,800.
Dengan Baloon Financing Plan, model ini boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM11,058. Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan di www.shop.bmw.com.my dengan yuran tempahan sebanyak RM10,000.
No Comment