BMW X6 Generasi Ketiga Masuk Pasaran Malaysia
Selain 8 Series Gran Coupe, BMW Group Malaysia turut melancarkan sebuah model Sports Activity Coupé iaitu BMW X6 generasi ketiga yang boleh didapati dalam versi xDrive40i M Sport.
Berbanding model terdahulu, X6 kini lebih panjang (+26 mm), lebih lebar (+15 mm), lebih rendah (-6 mm) manakala jarak rodanya dipertingkatkan (+42 mm), sekaligus memberikannya bentuk yang lebih dinamik.
Komponen utama pada bahagian hadapan adalah gril ‘kidney’ dengan pencahayaan ‘Iconic Glow’ yang diapit oleh sepasang lampu laser lengkap serta lampu kabus LED.
Di belakang pula terdapat lampu LED tiga dimensi berbentuk L , liang udara Air Breather serta pintu but automatik. Model ini hadir dengan BMW Individual Exterior Line yang menggunakan material Aluminium satin, termasuk pada rel bumbung.
Komponen M Sport yang disertakan termasuk sistem ekzos M Sport, brek M Sport, sistem suspensi adapatif M dan roda aloi ringan ‘M’ berukuran 21 inci dalam penggayaan ruji ‘Y’ 741 M Bicolour dengan tayar bercampur dan pneumatik (runflat).
Di dalam, material premium seperti upholsteri kulit Vernasca ditawarkan sebagai standard, begitu juga dengan stereng M yang dibalut kulit, kerusi sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, kerusi tunggal untuk penumpang belakang, tirai gulung dan penyaman udara automatik empat zon.
Bumbung kaca panoramik yang terdiri daripada dua bahagian kini 83% lebih besar sementara tempat duduk belakang hadir dengan fungsi pembahagian 40/20/40, sekaligus memberikan akses kepada ruang but yang boleh dibesarkan daripada 580 liter kepada 1,530 liter.
Selain itu, model ini turut didatangkan dengan kelengkapan seperti BMW Live Cockpit Professional, Head-up Display, sistem infotainmen untuk penumpang belakang dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.
X6 xDrive40i M Sport dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 340 hp pada paras 5,500-6,500 rpm dan 450 Nm pada 1,500-5,200 rpm.
Kehadiran transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api adalah 9.0 l/100 km dan output karbon gabungan berjumlah 206 g/km.
Model ini ditawarkan dalam enam warna iaitu Manhattan, Artic Grey, Riverside Blue, Carbon Black, Mineral White dan Flamenco Red. Ia boleh dipadankan dengan BMW Leather Vernasca dalam warna hitam (untuk semua padanan) atau Tacora Red (tidak disediakan untuk padanan Manhattan dan Riverside Blue).
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) adalah RM729,800.
No Comment