Ford Ranger Raptor Kini Dengan Ciri Keselamatan Baharu
Pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini melancarkan Ford Ranger Raptor baharu yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tambahan.
Ditawarkan pada harga bermula RM208,888 (atas jalan, tanpa insurans), trak pikap berprestasi tinggi itu kini didatangkan dengan ‘Autonomous Emergency Braking with Vehicle and Pedestrian Detection’, ‘Forward Collision Warning’ dan ‘Lane Departure Warning & Assist’.
Autonomous Emergency Braking with Vehicle and Pedestrian Detection direka untuk mengesan pejalan kaki dan juga kenderaan di hadapan trak dan dan mengeluarkan bunyi amaran kepada pemandu. Sekiranya pemandu gagal untuk bertindakbalas, sistem tersebut secara automatik akan membrek bagi membantu mengurangkan kebarangkalian berlakunya kemalangan.
Forward Collision Warning pula akan mengeluarkan bunyi amaran apabila ia mengesan kemungkinan perlanggaran hadapan. Sistem ini pra-caj secara automatik dan meningkatkan sensitiviti bantuan brek untuk memberikan tindakbalas menyeluruh apabila pemandu membrek.
Sementara itu, Lane Departure Warning akan menggetarkan stereng untuk menyedarkan pemandu apabila mereka terkeluar dari lorong secara tidak sengaja. Lane Departure Assist pula membantu pemandu kembali ke lorong asal sekiranya pemandu tidak memberi tindak balas.
Selain itu, Ranger Raptor baharu turut mendapat port pengecas USB tambahan pada cermin pandang belakang dan lampu hadapan LED untuk penglihatan lebih jelas untuk pemanduan waktu malam.
Seperti sebelum ini, model ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.0-liter BiTurbo yang menghasilkan 213 PS dan 500 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan. Ciri-ciri seperti suspensi Ford Racing Shox dan Terrain Management System dikekalkan.
Ranger Raptor boleh didapati dalam empat warna iaitu Ford Performance Blue, Conquer Grey, Absolute Black dan Arctic White.
Jika ada sebarang pertanyaan mengenai Ranger Raptor baharu atau mana-mana model Ford lain dan promosi yang dijalankan, anda boleh hubungi Jurujual Digital Ford di talian +6019-204 1200
No Comment