Honda, SOCAR Jalin Kerjasama Sediakan 50 Unit City Untuk ‘Frontliners’
Dalam satu kerjasama dengan SOCAR Mobility Malaysia Sdn. Bhd., Honda Malaysia akan menyediakan 50 buah Honda City untuk kegunaan pekerja barisan hadapan bagi memudahkan perjalanan mereka.
Program ini dimulakan untuk pelanggan Honda yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan yang tidak dapat menggunakan kenderaan mereka pada waktu yang sukar ini.
Ia akan dijalankan untuk tempoh sebulan dan semua kos penyewaan akan ditanggung oleh pihak Honda Malaysia. Ia terhad pada asas siapa cepat, dia dapat (first come, first served).
Menurut Honda Malaysia, program ini merupakan satu tanda penghargaan dan sokongan moral buat pekerja barisan hadapan yang telah banyak berkorban semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Inisiatif ini diharapkan dapat membantu mereka bekerja dengan lebih tenang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Semua orang memainkan peranan mereka dalam memerangi wabak COVID-19, dan petugas barisan hadapan memainkan peranan yang lebih penting dalam masa-masa sukar ini.”
“Beberapa minggu kebelakangan ini tidak mudah bagi semua orang di Malaysia, terutama petugas barisan hadapan yang berusaha tanpa lelah untuk melindungi Malaysia daripada wabak tersebut,” tambah beliau.
Pelanggan Honda yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan boleh melayari laman web Honda untuk maklumat lanjut mengenai program ini.
No Comment