Lexus LC Dapat Sistem Suspensi Baharu
Lexus telah mengumumkan penambahbaikan kepada LC bagi model tahun 2021.
Menurut jenama itu, berat model ‘grand tourer’ itu berjaya dikurangkan sebanyak 10 kg dengan menggunakan ‘lower arm’ aluminium, penstabil berongga dan rim belakang 21 inci yang lebih ringan dan bahan pegas gegelung yang lebih kukuh.
Sistem suspensi itu bukan sahaja lebih ringan, malah turut ditala untuk memberikan pemanduan yang lebih lancar. Antara perubahan yang dilakukan adalah mengubahsuai kawalan peredam elektronik pada bahagian hadapan untuk mendapatkan strok lebih panjang.
Untuk meningkatkan pengendalian, ciri Vehicle Stability Control (VSC) kini dipadankan dengan Active Cornering Assist (ACA). Sistem ini membantu mengawal kereta dengan membrek tayar yang berada pada bahagian dalam selekoh.
Selain itu, Lexus turut menala logik transmisi automatik 10 kelajuan pada LC 500. Ia membolehkan gear ‘dipegang’ lebih lama ketika pendikit berada pada tahap 50 hingga 70% atau ‘zon aktif’ seperti yang digelar oleh Lexus.
Selain itu, jurutera Lexus turut menaik taraf ciri ‘downshift’ pada LC 500h supaya ia terus turun ke gear dua dan bukannya gear tiga seperti sebelum ini bagi membolehkan kereta memecut keluar dari selekoh tajam dengan lebih laju.
Dari segi penampilan, pilihan warna untuk LC adalah Caviar, Obsidian, Smoky Granite Mica, Atomic Silver, Liquid Platinum, Ultra White, Infrared, Nightfall Mica, Flare Yellow dan dua warna baharu iaitu Nori Green Pearl dan Cadmium Orange.
Ruang dalaman turut diberi penambahbaikan dalam bentuk penambahan upholsteri kulit Circuit Red yang menggantikan Rioja Red sebelum ini. Pilihan warna lain untuk kabin LC adalah Black dan Toasted Caramel. Akhir sekali, Android Auto kini didatangkan secara standard.
No Comment