Mansory Hasilkan Pakej Softkit Untuk Ferrari 812 Superfast
Mansory sememangnya terkenal dengan rekaannya yang ekstrem dan radikal namun pakej penggayaan terbaru yang dihasilkan untuk Ferrari 812 Superfast ini dilihat sangat berlainan dan langsung tidak melambangkan identitinya.
Ini kerana pakej yang dikenali sebagai Softkit ini jelas lebih sederhana jika dibandingkan dengan pakej-pakej lain yang pernah dihasilkan oleh syarikat talaan dari Jerman itu.
Ia merangkumi penambahan komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, skirt sisi, spoiler ‘duck tail’, diffuser belakang serta set logo Mansory untuk menggantikan logo asal jenama Prancing Horse itu. Selain itu, pelanggan juga akan mendapat rim berwarna hitam dan lampu belakang yang digelapkan.
Mansory tidak menyatakan sebarang naik taraf enjin namun dengan 800 hp dan 718 Nm yang dibekalkan oleh enjin 6.5-liter V12, 812 Superfast sebenarnya tidak memerlukan kuasa tambahan. Pecutan 0-100 km/j dalam 2.9 saat dan kelajuan maksimum 340 km/j sudah cukup memadai untuk jentera ini.
Namun jika anda seorang pemilik 812 Superfast yang mahukan penampilan yang lebih menonjol dan kuasa yang lebih tinggi, Mansory turut menawarkan pakej Stallone.
No Comment