Mazda Sambut Ulang Tahun ke-100 Dengan Model Edisi Istimewa
Mazda menyambut ulang tahunnya yang ke-100 pada 30 Januari tahun ini dan bagi meraikannya, pengeluar kereta dari Jepun itu telah memperkenalkan siri edisi istimewa yang diinspirasikan oleh kereta pertama keluarannya iaitu R360 Coupe.
Dilancarkan pada 1960, R360 Coupe direka untuk memenuhi impian mereka yang ingin memiliki kereta sendiri. Ini dapat dilihat menerusi penggunaan enjin aloi kecil, transmisi automatik serta struktur monocoque ringan yang menjadikan ia mudah dipandu dan juga lincah di jalan raya.
Gabungan faktor-faktor tersebut menghasilkan prestasi pemanduan yang mengatasi kereta-kereta penumpang mikro-mini sebelum itu, pada harga yang sangat berpatutan. R360 Coupe menjadi pemacu permotoran di kalangan masyarakat Jepun dan kekal sebagai titik permulaan pengeluaran kereta Mazda hingga kini.
Berbalik kepada siri edisi istimewa tersebut, ia merangkumi model-model semasa Mazda termasuk MX-5, Mazda3, Mazda6, CX-3, CX-30, CX-5, CX-8 dan CX-9. Kesemuanya menampilkan skema warna dua tona dengan warna Snow Flake White Pearl pada luaran dan burgundy pada bahagian dalaman.
Selain daripada gabungan warna unik itu, kesemua model dalam siri ini juga didatangkan dengan lencana ‘100th Anniversary’ pada bahagian fender dan hubcap. Logo komemoratif itu juga boleh didapati pada kunci, perehat kepala dan karpet.
Menurut Mazda, siri edisi istimewa ini dihasilkan sebagai tanda terima kasih kepada jutaan pelanggan syarikat itu dan juga sebagai tanda bahawa ia tidak pernah melupakan asal-usulnya dalam perniagaan pembuatan kereta.
No Comment