Mazda3 Menang Anugerah Reka Bentuk Kereta Dunia 2020
Mazda3 adalah antara kereta paling cantik di pasaran masa kini. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila model tersebut telah dipilih sebagai pemenang anugerah ‘2020 World Car Design of the Year’ yang merupakan sebahagian daripada World Car Awards (WCA).
Ini secara tidak langsung menjadikannya model Mazda kedua yang memenangi anugerah tersebut selepas MX-5 (juga dikenali sebagai Roadster di Jepun) pada 2016.
WCA ditubuhkan pada 2004 oleh kumpulan wartawan automotif antarabangsa. Panel juri tahun ini terdiri daripada 86 wartawan daripada 25 buah negara. Keputusan akhir diumumkan oleh WCA di Toronto pada 8 April.
Selari dengan falsafah reka bentuk Mazda yang menganggap kereta sebagai sebuah seni, Mazda3 menampilkan rekaan Kodo yang matang yang diinspirasikan oleh estetika Jepun dengan pendekatan “less is more”.
Hasilnya adalah rekaan unik dengan permukaan badan yang licin dan natural. Bukan itu sahaja, walaupun berkongsi nama, model hatchback dan sedan Mazda3 mempunyai personaliti yang berbeza. Hatchback dikatakan lebih emotif manakala sedan pula elegan.
No Comment