Perodua Main Peranan Perangi COVID-19
Perodua telah menyumbang RM2 juta kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Selain sumbangan tunai, Perodua juga telah menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh untuk membantu perjuangan menentang pandemik ini.
Sumbangan diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad kepada Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Perjuangan menentang COVID-19 ini adalah tanggungjawab yang dipikul kita semua. Sumbangan bekalan dan tunai oleh Perodua merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu Malaysia dapat pulih secepat mungkin,” kata Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Menurut laporan media, Tabung COVID-19 NADMA dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11hb Mac 2020 bagi menolong rakyat yang paling memerlukan bantuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang bermula 18hb Mac 2020.
Berdasarkan laporan, kumpulan sasaran tabung ini termasuk mereka yang tiada pekerjaan serta yang paling terkesan akibat MCO. Kerajaan juga telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat baru-baru ini.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas langkah-langkah ini. Perodua, bersama dengan seluruh rakyat Malaysia, berharap pandemik ini akan selesai dalam masa yang terdekat; juga dengan bilangan kes serta kematian yang minima. Kami juga mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang akibat COVID-19,” kata Dato’ Zainal.
“Bagi Perodua, kami telah mengarahkan semua kakitangan, pembekal automotif tempatan dan pengedar sah kami untuk memberi tumpuan kepada keperluan dan kebajikan kakitangan mereka semasa MCO ini.
“Kami juga sedang memantau kesan wabak ini ke atas ekosistem kami serta memastikan gaji, faedah kerja dan pekerjaan warga Perodua terjaga. Kami komited untuk mengamalkan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk membendung penyebaran virus ini.
“Kepada para pelanggan kami secara khusus dan semua rakyat Malaysia secara umum, teruskan tinggal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat,” kata Dato’ Zainal.
No Comment