Toyota GR Supra Terima Talaan Manhart
Syarikat talaan yang sinonim dengan BMW iaitu Manhart telah memperkenalkan pakej naik taraf untuk Toyota GR Supra. Seperti yang anda tahu, ‘nadi’ Supra dihasilkan oleh pengeluar dari Jerman itu.
Dikenali sebagai Supra GR 450, pakej naik taraf tersebut merangkumi pemetaan ECU MHtronik Powerbox dan peredam keluli tahan karat dengan kawalan injap.
Dengan bantuan dua komponen tersebut, enjin B58 3.0-liter enam silinder twin-turbo itu kini menghasilkan 450 hp and 650 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 110 hp dan 150 Nm.
Manhart tidak mendedahkan sebarang angka prestasi namun sudah tentunya jentera yang ditala ini memerlukan kurang dari 4.3 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j.
Selain itu, Manhart turut menawarkan sistem suspensi H&R atau KW yang boleh dipadankan dengan rim Concave One berukuran 20 inci. RIm tersebut boleh didapati dengan kemasan hitam berkilat atau hitam matte.
Pelanggan juga boleh mendapatkan Emulator Control Module untuk membuang pemangkin (de-cat) dan menyahaktifkan sistem start/stop dan bunyi ekzos palsu yang disalurkan ke dalam kabin.
No Comment