Motor Image Buka Semula Semua Pusat Servis dan Bilik Pameran
TC Subaru Sdn Bhd mengumumkan bahawa semua bilik pameran dan pusat servis yang dioperasikan oleh Motor Image Malaysia telah dibuka semula.
Bagaimanapun, pelanggan masih mempunyai pilihan untuk melakukan pandu uji di rumah. Hanya hubungi bilik pameran terdekat untuk membuat janji temu dan perunding jualan akan menghantar kereta pandu uji ke rumah. Setiap kenderaan akan dibasmi kuman sebelum dan selepas pandu uji.
Sebagai langkah berjaga-jaga, setiap titik sentuh di bilik pameran seperti komputer, alat tulis, kaunter dan meja dibasmi kuman setiap hari. Kakitangan juga akan memakai topeng muka semasa bekerja.
Pelanggan yang hadir perlu mendaftar butiran peribadi mereka bagi memudahkan pengesanan kontak. Suhu badan juga akan diambil yang mereka yang mempunyai suhu 37.5°C dan ke atas tidak akan dibenarkan masuk ke bilik pameran dan pusat servis.
Bagi memastikan penjarakan selamat, pihak Subaru akan mengehadkan bilangan pelanggan yang boleh masuk ke bilik pameran pada satu-satu masa. Penanda penjarakan sosial juga diletakkan pada jarak setiap 1 meter.
Selain itu, ruang menunggu juga akan ditutup. Pelanggan dinasihatkan untuk menghantar kenderaan mereka dan kembali untuk mengambilnya setelah servis selesai. Turut digalakkan adalah pembayaran tanpa tunai.
No Comment