BMW 6 Series GT Turut Terima Facelift
Selain 5 Series, BMW turut memberikan facelift kepada satu lagi model saiz pertengahannya iaitu 6 Series Gran Turismo. Model itu telah disemak semula dari pelbagai aspek termasuk reka bentuk, kelengkapan serta senarai enjin yang ditawarkan.
Dari segi penampilan, 6 Series GT kini tampil dengan jeriji ‘kidney’ yang lebih lebar dan lampu LED yang lebih nipis yang boleh dinaik taraf kepada unit Adaptive LED atau Laserlight.
Selain itu, rekaan bampar hadapan dan belakang kini lebih sporty, manakala muncung ekzos bagi semua varian didatangkan dalam bentuk trapezoid. Rim pula didatangkan dalam pilihan 18, 19 dan 20 inci.
Di dalam, perubahan lebih melibatkan aspek teknologi di mana 6 Series GT kini dilengkapi dengan sistem Live Cockpit Professional yang merangkumi dua paparan 12.3 inci. Turut disertakan adalah BMW Operating System 7.
Antara kelengkapan tambahan yang ditawarkan secara opsyen termasuk sistem pencahayaan ambien, sistem infotainmen untuk tempat duduk belakang, kawalan iklim empat zon, bumbung kaca panoramik dan sistem audio Bowers & Wilkins.
6 Series GT boleh didapati dengan dua pilihan enjin petrol dan tiga pilihan enjin diesel. Kesemuanya dilengkapi dengan teknologi mild hybrid 48 volt yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 11 hp. Berikut adalah pilihan varian:
- 630i – 2.0-liter empat silinder dengan 258 hp dan 400 Nm
- 640i – 3.0-liter enam silinder dengan 333 hp dan 450 Nm
- 620d – 2.0-liter empat silinder dengan 190 hp dan 400 Nm
- 630d – 3.0-liter enam silinder dengan 286 hp dan 650 Nm
- 640d – 3.0-liter enam silinder dengan 340 hp dan 700 Nm
Dari segi kelengkapan, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan Integral Active Steering dan Parking Assistant dengan ciri bantuan mengundur. Sistem suspensi standard merangkumi suspensi udara pada gandar belakang, namun ia boleh dinaik taraf kepada sistem suspensi udara sepenuhnya.
No Comment