BMW X2 xDrive25e Hadir Dengan 220 hp
Pada September tahun lalu, BMW melancarkan X1 versi hibrid plug-in iaitu xDrive25e. Kini, pengeluar dari Jerman itu telah memperkenalkan versi yang sama untuk X2 pula.
Seperti X1, X2 xDrive25e dikuasakan oleh gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan sebuah motor elektrik yang terletak di atas gandar belakang. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 220 hp dan 385 Nm.
Ini membolehkan crossover ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 195 km/j. Untuk perbandingan, X1 xDrive25e melakukan pecutan 0-100 km/j dalam tujuh saat dengan kelajuan maksimum 192 km/j.
Dengan bantuan bateri lithium-ion berkapasiti 10 kWj yang terletak di bawah tempat duduk belakang, X2 memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 57 km dengan satu cas penuh. Kelajuan maksimumnya dalam mod elektrik adalah 135 km/j.
Bercakap tentang elektrik, model ini menawarkan tiga mod pemanduan elektrik iaitu Auto eDrive, Max eDrive dan Save Battery. Kehadiran bateri lithium-ion secara tidak langsung mengurangkan kapasiti ruang but dari 470-1,355 liter kepada 410-1,290 liter.
Dari segi penampilan, varian xDrive25e boleh dibezakan dengan varian-varian lain menerusi kemasan kelabu di sekeliling badannya dan juga penutup pengecas di sebelah kiri. Ia juga tidak mempunyai lampu kabus bulat pada bampar hadapan.
No Comment