Ducati Sambung Semula Pengeluaran di Kilang Borgo Panigale
Ducati mengumumkan bahawa ia telah memulakan semula oeprasi pengeluaran motosikal di kilang Borgo Panigale di Bologna, Itali sejak 27 April lalu. Sebelum ini, pengeluaran di kilang itu dihentikan sementara pada 13 Mac dalam usaha untuk membendung penyebaran virus COVID-19.
Menurut syarikat itu, penyambungan semula dilakukan secara berperingkat bermula dengan kakitangan bengkel, diikuti oleh pekerja pemasangan enjin dan akhirnya pekerja pemasangan motosikal.
Selain itu, kakitangan R&D termasuk mereka yang bekerja di makmal penyelidikan dan bilik ujian enjin juga dibenarkan untuk bekerja semula di kilang.
Kakitangan yang bekerja dalam bahagian IT, pemasaran, komersial, pengurusan logistik dan lain-lain akan terus bekerja dari rumah.
Walaupun barisan pengeluaran dibuka semula, lawatan ke muzium dan kilang akan terus ditangguhkan sehingga diberitahu kelak. Bukan itu sahaja, pembekal, pengedar, pekerja kontrak dan kakitangan luaran tidak dibenarkan masuk ke kawasan kilang buat masa ini.
“Pasaran motosikal adalah sangat bermusim dan penghentian pengeluaran pada Mac dan April telah memberikan kesan negatif terhadap jualan. Pasaran China sedang berkembang, manakala jualan di Korea dan Jepun berjalan lancar. Di Jerman, pengedar telah dibuka sejak seminggu lalu dan kami sudah mengalami kekurangan produk,” kata Claudio Domenicalli, ketua pegawai eksekutif Ducati.
No Comment